Sunday, 3 January 2016

Roadtrip ke Hatyai dan Krabi (part 1)

Curi masa menulis tentang roadtrip kami ke Hatyai dan Krabi tempoh hari, percutian yang dirancang di saat akhir. Kami naik satu kereta sahaja, bertolak pada malam selasa sebelum cuti Krismas. Cukup kami tujuh orang, saya, suami dan anak-anak, mak, dan dua orang adik saya. Turut bersama ialah sepupu saya dan keluarganya satu kereta.

Sampai di Kedah sebelum subuh, singgah tidur dan solat subuh di rumah mak cik di Lubuk Merbau, anak dia dua pupu saya yang akan ketuai rombongan cik kiah kami ke Thailand. Tepat jam 10 pagi, kami 3 kereta (sepupu dan juga dua pupu) bertolak ke Thailand melalui sempadan di Wang Kelian. Untungnya masuk di Wang Kelian ialah orang tak berapa ramai berbanding Bukit Kayu Hitam atau Padang Besar. Tapi jalan nak masuk Wang Kelian memang berbukit dan sunyi. Tengokkan keadaannya memang seram. padanlah ramai pelarian Rohingya ramai yang disembunyikan di sini.




Dalam tak ramai pun masih beratur juga. Kami beruntung sebab bawa anak kecil, pegawai imigresen Thailand cop passport kami dulu tapi wang seluk pun masih kena beri. Entah kenapa memang mereka minta seringgit untuk satu passport. 

Keluar dari Wang Kelian, kami masuk ke Satun, Thailand. Yang menariknya jalan raya di Thailand memang bagus belaka keadaan jalannya, tol pun tak perlu bayar. Sekitar jam 3 petang lebih kami singgah makan tengah hari di kawasan yang saya pun lupa namanya. Singgah di rumah saudara, seusai solat Asar, kami bertolak pula ke Samila Beach, Songhkla. Pantai yang popular dengan ikan duyung. Tapi bukan ikan duyung sebenar ya! Cuma patung ikan duyung yang diletak di tepi pantai. 



Sempat bergambar walaupun mak larang. Orang tua-tua memang cukup pantang kalau bergambar dengan patung, lagi-lagi yang dipakaikan kalung bunga seperti ni. Kami fikir positif dan tawakal sahaja. Niat hanya nak bergambar kenangan.


Kemudian kami bertolak pula ke Hatyai, sampai di sana sudah hampir pukul 8 malam. Check-in di President Hotel dan terus perlu mengisi perut yang lapar. Yang menariknya di Hatyai, makanan halal memang mudah dicari. Semuanya jenis gerai-gerai di tepi jalan, tetapi kebersihan terjaga. Gerai kami makan ni betul-betul di sebelah hotel. Nak berjalan ke kedai-kedai, tetapi semua kedai dah tutup. Berbeza sungguh dengan Malaysia, lagi malam lagi meriah.



Makan malam di gerai-gerai di tepi jalan, magiknya bila siang hari kawasan gerai ini bersih tanpa sampah sarap yang ditinggalkan penggerai. 


Esok paginya kami bangun awal-awal untuk sesi shopping yang sekejap. Kami diberi masa sejam sahaja untuk membeli barang. Kalau ikutkan logik memang tak cukup masa diberi tapi saya dan mak sempat juga sambar kain sehelai dua. 



Kaedah pengangkutan paling mudah di bandar Hatyai semestinya tuk tuk. Perjalanan pergi dan balik dari hotel ke kedai-kedai hanya berjumlah 160 Baht. Cuma berhati-hati takut ada pemandu yang cuba menipu.  

Pulang membeli-belah, kami terus bergerak ke Krabi. Perjalanan lebih kurang 5 ke 6 jam memandu bergantung pada kelajuan. Kami sampai di Krabi dalam pukul 5 lebih. Sampai-sampai terus singgah makan tengahari. Sebelum tu sempat isi perut ketika singgah rehat di tengah jalan. 

Lepas makan terus check in di Chalet CWL. Jangan ditanya nama penuh chalet ini kerana itu sahaja tulisan yang saya boleh baca yang selainnya dalam bahasa Thailand. Tapi harga chalet memang murah RM 100 untuk setiap chalet. Malamnya kami berjalan-jalan di sekitar bandar Krabi, seperti yang dijangkakan kedai-kedai semua telah tutup walhal jam masih pukul 9.00 malam. Saya, mak, kakak saudara dan makcik saya sempat mencuba Foot Massage di spa. Harga hanya 300 Baht. Cukup affordable bagi saya, sesuai dengan keadaan spa yang kelihatan mewah dan sedikit tertutup, sesuai untuk kita yang bertudung. Habis mengurut kaki, kami terus pulang berehat untuk aktiviti yang lebih mencabar esok hari. (Bersambung..)



No comments:

Post a Comment